PASIR PUTEH, 14 Apr – 2 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan mengalami kecederaan apabila bergelut dengan nelayan asing Vietnam dalam serbuan yang dijalankan di perairan Kelantan pada Isnin.
Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 5 petang itu berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama 20 orang kru termasuk seorang tekong.
“Semasa rondaan Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai di perairan Kelantan, bot ronda APMM telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan pada jarak 3 batu nautika dan terus mengatur gerak kejar buru untuk menahan,
“Menyedari kehadiran bot penguatkuasa, bot asing terbabit bertindak melarikan diri daripada ditahan,” katanya dalam satu hantaran media sosial rasminya, semalam.
Menurutnya lagi, bot asing terbabit enggan menyerahkan diri malah bertindak memecut laju sehingga pihak APMM terpaksa melakukan ‘force boarding’ bagi memastikan bot tersebut berjaya dihentikan.
Nor Adli berkata, ketika anggota pengeledahan cuba menerpa ke arah rumah kemudi bagi mengambil alih kawalan ke atas bot berkenaan, tekong mengacukan pisau dan cuba menikam beliau.
“Berlaku pergelutan yang menyebabkan kecederaan di bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan anggota APMM, manakala seorang lagi anggota cedera pada ibu jari kanan disebabkan bergelut dengan kru bot nelayan yang lain,
“Walaupun mengalami kecederaan, anggota APMM berjaya mempertahankan diri serta mematahkan tindakan agresif kru bot berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, APMM mengambil masa lebih kurang 45 minit bagi menghentikan serta menahan bot tersebut pada jarak 46 batu nautika daripada muara Tok Bali.
Beliu turut menjelaskan, kesemua yang ditahan berumur 20 hingga 48 tahun dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan juga mendapati, bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,
“Tangkapan ini melibatkan rampasan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, 500 kilogram (kg) ikan, dan bekalan diesel lebih kurang 500 liter dengan anggaran nilai RM1.5 juta, seterusnya diiring masuk ke Jeti APMM Negeri Kelantan untuk siasatan,” ujarnya lagi.
Bot penguatkuasa mengambil masa lebih kurang 7 jam untuk tiba di Jeti APMM Negeri Kelantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Turut disiasat dibawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 serta bot bersama peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia,
“Kesemua tahanan ditempatkan di dalam bilik tahanan sementara bagi menjalani kuarantin setelah melakukan ujian saringan COVID-19,” katanya. – airtimes.my