Home Semasa Hukum Ahli Parlimen beruk, kera dan monyet agak keterlaluan

Hukum Ahli Parlimen beruk, kera dan monyet agak keterlaluan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Apr – Menghukum semua Ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan walaupun ia diluahkan hasil dari seni lukisan.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun secara zahirnya adalah sebuah kritikan pedas dari perspektif pengkarya seni lukisan, hakikatnya lukisan ini mahu menggambarkan realiti seolah-olah institusi Parlimen sudah bertukar menjadi sidang para beruk dan katak-katak.

Beliau turut tidak bersetuju apabila lukisan itu, secara pukal melebel sedemikian ke atas semua Ahli Parlimen apatah lagi kemuliaan Dewan Parlimen yang digambarkan sebegitu rupa.

Dr Mujahid berkata demikian susulan tular sebuah lukisan memaparkan katak dan monyet di Parlimen yang telah dibeli oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Selasa.

Lukisan tersebut melakarkan suasana dalam dewan Parlimen Malaysia yang ahlinya dilukis terdiri dari spesis primat dan amfibia kecuali Speaker Dewan dan 2 pegawai bertugas.

“Antara kehebatan berbahasa ialah membuat perumpamaan kerana ia dapat menghidupkan sesuatu makna dalam benak manusia dan mudah difahami dan kekal dalam ingatan memori,

“Selain perumpamaan berbahasa, kreativiti seni lakaran, gambar atau potret mampu menjelaskan seribu perkataan yang sukar dijelaskan,

“Saya menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka walaupun saya tidak bersetuju sikap melabel secara pukal ke atas semua ahli parlimen apatah lagi kemuliaan dewan parlimen digambarkan begitu rupa,

“Setiap Ahli Parlimen mahupun para pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing sebagai memuliakan dewan. Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika memasuki zoo atau kandang haiwan!,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ini, Ahli legaslatif adalah nama kepada tugas mulia yang diamanahkan, walaupun masyarakat lebih selesa memanggil kami ahli parlimen atau YB.

“Syarat untuk layak sebagai ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah,

“Keberadaan mana-mana ahli parlimen dalam dewan yang mulia adalah mewakili kelebihan undi yang diperoleh secara demokrasi berpilihan raya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,

“Pengundi yang akan ‘menghukum’ atau ‘memberi kredit’ kepada wakil-wakil mereka berpandukan prestasi masing-masing,

“Menghukum semua ahli dewan rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan waima atas piawaian satira. Hormatilah pilihan majoriti para konstituen (pengundi) masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera!,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai seorang Ahli Parlimen Muslim, beliau turut protes satira politik ini kerana ia melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai dalam al-Quran serta Sunnah Nabi kita SAW.

“Surah Hujurat ayat ke-11 jelas melarang mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan),

“Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim. Hadis Riwayat Muslim jelas menunjukkan antara sikap sombong seseorang kerana 2 perilakunya iaitu menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia,

“Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim,” tegas Dr Mujahid lagi.

Dr Mujahid turut mengakui perasaan kekecewaan rakyat tetapi harus adil dan bersifat objektif terutamanya yang memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Kita harus adil dan bersifat objektif seperti bertanya soalan lebih besar kepada orang politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama sempit,

“Selain itu, budaya jatuh menjatuhkan sehingga mempermainkan mandat rakyat, fitnah-memfitnah serta tawar-menawar pangkat dan kedudukan untuk lompat parti perlu dielakkan,

“Ini lebih bahaya kepada institusi politik negara dan kestabilannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, semua Ahli Parlimen tidak kira parti mana telah berjaya mendapat sokongan 2 per 3 demi kepentingan rakyat.

“Kami akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang menasihati dengan tegas perlunya kestabilan politik,

“Saya tidak fikir beruk, kera dan monyet mahupun katak sendiri mampu melakukan demikian. Rakyat boleh sahaja menilai melalui sesi persidangan yang dibuat secara langsung, bukan semua MP seperti ditanggap,

“Media pula suka menonjolkan berita sensasi bertikam lidah tetapi jarang melaporkan ide-ide bernas dan perbahasan yang beradab sebagai bahan berita,

“Saya menghargai hak berkarya sebagaimana saya juga mengharapkan hak untuk mempertahankan diri dihormati apatah lagi apabila salah satu cabang pemerintahan iaitu legaslatif diperlekehkan,

“Ini bukan soal siapa makan cili terasa pedas tetapi satira ini umpama kata orang tua-tua kita ‘bagaimana tidak hujan, katak bentung dalam telaga berteriak selalu’,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!