SANDAKAN, 13 Apr – Sebanyak 5 buah bot laju dari Filipina yang ingin menceroboh masuk ke perairan negara di kawasan perairan Sandakan berjaya dipatahkan lewat petang kemarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, operasi mencegah kemasukan dari negara luar sedang giat dijalankan oleh PPM di perairan negara.
Menurutnya, anggotanya telah mengesan beberapa bot dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran yang memasuki perairan negara sebelum ianya berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut mendakwa berasal daripada Filipina dan kemudiannya di arahkan berpatah balik dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19,
“Mereka juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak COVID 19,” jelasnya.
Rusdin berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat kepada pasukan keselamatan dengan kadar segera. -airtimes.my