Home Pertahanan dan Keselamatan 12,000 unit RKMAT bakal dibina – Hishammuddin

12,000 unit RKMAT bakal dibina – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Apr – Sebanyak 3 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) daripada 7 projek tersebut merangkumi 1,081 unit rumah yang diumumkan Januari lepas, telah siap dibina.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, RKMAT tersebut melibatkan 305 unit RKMAT Kem Segamat, 204 unit RKMAT Kem Pakit dan 20 unit RKMAT Kem Oran di Perlis yang telah selesai pembinaannya pada suku pertama tahun ini.

“7 projek RKMAT yang merangkumi 1,081 unit rumah yang saya telah umumkan pada Januari lalu, 3 daripadanya telah selesai dibina,

“Ini menunjukkan, perancangan berkaitan perumahan berjalan dengan lancar. Kita berhak berpuas hati namun jangan kita berhenti di sini. Kekalkan momentum untuk selesaikan 4 lagi projek RKMAT tahun ini,” katanya semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 di salah satu hotel di ibu negara, hari ini.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan juga mempunyai perancangan lebih besar iaitu membina 12,000 unit RKMAT baru dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 di bawah Blueprint Perumahan 3.0 yang telahpun siap.

“Saya tahu, agenda perumahan ini juga amat dekat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,

“InsyaAllah, seperti yang beliau janjikan semasa merasmikan RKMAT Kem Segamat Mac lalu, beliau sendiri akan merasmikan Blueprint ini,” tambahnya.

Terdahulu, Hishammuddin telah menyampaikan APC kepada seramai 291 penerima dari warga awam Kementerian Pertahanan; 45 penerima Angkatan Tentera Malaysia (ATM); 41 pesara wajib menerima Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang serta 4 pesara pilihan diberi penghargaan atas perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun 2021.

Selain itu, bantuan zakat wakalah asnaf turut disampaikan kepada 150 warga awam Kementerian Pertahanan Malaysia.

Anugerah ini adalah sebagai penghargaan kepada semua penerima serta pembangkit semangat kepada rakan-rakan sekerja yang lain untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti, jujur, berdedikasi, ikhlas, amanah dan sentiasa mendukung nilai-nilai murni dan profesionalisme.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM serta kepimpinan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!