LAHAD DATU, 12 Apr – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menerusi Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) dengan berkonsepkan ‘Tentera Bersama Rakyat’ di Masjid Al-Huda Felda Sahabat 16, semalam.
Penglibatan anggota tentera dalam melaksanakan program ini tertumpu kepada aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran masjid dan surau bersama penduduk kampung.
MK ATB 2 dalam hantaran media sosialnya berkata, aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pemberian dos penggalak COVID-19 turut diadakan secara serentak yang melibatkan sel kesihatan pasukan dengan kerjasama klinik kesihatan setempat.
Dalam pada itu, seramai 204 orang awam telah disaring dalam pemeriksaan kesihatan dan seramai 167 orang awam terlibat bersama-sama anggota tentera dalam menjayakan aktiviti gotong-royong.
“Pemeriksaan kesihatan juga telah diperluaskan ke beberapa lokasi seperti Tambisan, Tanjung Batu, dan Sungai Merah bagi direkodkan dalam simpanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Program ini juga dilihat mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Terdahulu, Komander MK ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menjelaskan bahawa aktiviti sebegini dapat mengeratklan lagi hubungan dan kerjasama diantara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta masyarakat setempat.
“Secara tidak langsung ianya merupakan usaha MK ATB 2 dalam menyokong Program Tentera Bersama Rakyat selaras dengan konsep Military Operation Other Then War (MOOTW) di masa aman,” ujarnya.
Sementara itu, Leftenan Kolonel Osman Abdul Rahim juga telah menyempurnakan penyerahan sumbangan ikhlas pihak tentera berbentuk juadah berbuka puasa dan moreh bagi jemaah Masjid Al-Huda Felda Sahabat 16 kepada wakil AJK masjid tersebut.
“Ianya juga telah diperlihat jalinan kerjasama yang erat bagi membantu masyarakat setempat terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan,” tambah beliau. – airtimes.my