Home PolitikPakatan Harapan Anwar Ibrahim kekal Presiden PKR, menang tanpa bertanding

Anwar Ibrahim kekal Presiden PKR, menang tanpa bertanding

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Apr – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut memaklumkan bahawa Anwar memenangi jawatan itu tanpa bertanding selepas tiada pencabar apabila proses pemilihan parti bagi penggal 2022/2025 ditutup malam tadi.

“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, Saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi Keadilan,

“Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada Saudara Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Semalam, pejabatnya menerusi kenyataan berkata, Anwar telah mengemukakan permohonan untuk bertanding jawatan tersebut pada jam 12.14 tenghari.

Pada pemilihan PKR kali ini dijangka tertumpu kepada Jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan 2 pertembungan yang telah disahkan iaitu Saifuddin dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, senarai penuh calon yang akan bertanding hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

Pencalonan peringkat pimpinan di semua 222 cabang seluruh negara bagi Pemilihan Keadilan 2022 telah bermula pada 8 hingga 10 April 2022.

Proses pengundian bagi pemilih secara dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pula 13 hingga 17 Mei 2022.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!