Home Pertahanan dan Keselamatan APMM gagalkan cubaan seludup keluar 12kg dadah di Pontian

APMM gagalkan cubaan seludup keluar 12kg dadah di Pontian

by Nurulhuda

BATU PAHAT, 11 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar dadah seberat 12 kilogram (kg) di perairan Parit Raja, Pontian, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, pihaknya berjaya merampas dadah syabu tersebut yang dibungkus dalam plastik lut sinar.

Beliau berkata, rampasan dilakukan hasil maklumat risikan mengenai pergerakan curiga, disyaki sebuah bot nelayan asing di perairan Parit Raja, Pontian dan sebuah bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta pengesanan suspek sekitar jam 6.30 pagi.

“Semasa pemantauan, pasukan operasi telah terserempak dengan sebuah bot mencurigakan disyaki bot nelayan asing yang dikendalikan dua lelaki dan diarahkan berhenti, namun bot tersebut terus memecut laju dengan menukar arah menuju ke beting Parit Raja, Pontian,

“2 orang suspek telah bertindak melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot tersadai dibenteng batu Parit Raja, Pontian dalam keadaan tenggelam bahagian belakang,

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berwarna coklat tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai milik nelayan asing dan menjumpai sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik berwarna merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, pihaknya juga merampas sepucuk pistol angin berisi 3 butir peluru yang ditemui dalam sebuah beg sandang.

Simon berkata, pihaknya juga telah merampas sepucuk pistol angin berisi 3 butir peluru, sebuah telefon bimbit, sebuah bot kayu berwarna coklat berukuran 6.4 meter panjang dengan 1.2 meter lebar serta 1 unit enjin model Yamaha 40 kuasa kuda.

“Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM628,800.00,

“Kesemua penemuan tersebut dirampas dan dibawa ke APMM Batu Pahat, manakala kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” ujarnya.

Tambahnya, dadah tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia dan jumlah penggunaannya boleh menampung sebanyak 60,000 orang penagih dadah.

Dalam masa yang sama, Simon berkata, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan Johor selamat dan terkawal daripada sebaranag perlanggaran undang-undang serta jenayah rentas sempadan. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!