Home Pertahanan dan Keselamatan 6 nelayan Vietnam cuba sogok RM5,300 kepada anggota APMM ditahan

6 nelayan Vietnam cuba sogok RM5,300 kepada anggota APMM ditahan

by Air Times News Network

BINTULU, 11 Apr – Cubaan 6 nelayan Vietnam untuk memberi sogokan sebanyak RM5,300 kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu bagi tujuan melepaskan mereka serta bot tidak kesampaian apabila ditahan, pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pihaknya telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 90 batu nautika dari muara Sungai Kemena.

Mohd Khairul Anuar berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hot- spot’ di perairan Sarawak.

“Semasa rondaan rutin, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat sekitar jam 9.00 malam,

“Berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, KM Setia berjaya menahan bot setelah mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas bot nelayan asing tersebut yang bertindak melarikan diri dari diperiksa.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati 6 kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berumur dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan,

“4 kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala 2 kru lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” ujarnya.

Menurutnya, menyedari kesalahan yang telah dilakukan, tekong telah menawarkan suapan kepada pihak APMM sebanyak RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot.

Katanya, bot dipercayai baru berada di lokasi berdasarkan muatan yang disyaki gamat berjumlah lebih kurang 3 kilogram (kg) beserta 2,000 kg garam yang akan digunakan sebagai bahan pengawet bagi menjaga ketahanan gamat tersebut sebelum dibawa pulang ke Vietnam.

“Kesemua kru, peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500,000, ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara dan jika disabitkan bersalah, tekong boleh dihukum denda tidak melebihi RM6 juta dan RM600,000 bagi taip-tiap anggota kru terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, kes turut disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply