Home Semasa 2 lagi penyelam warga asing ditemui selamat di Pengerang

2 lagi penyelam warga asing ditemui selamat di Pengerang

by Air Times News Network

MERSING, 9 Apr – 2 daripada 3 penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu lepas ditemui selamat di selatan Pengerang, Johor berhampiran sempadan Indonesia awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Khairul Nizam Misran berkata, 2 penyelam tersebut adalah warga Britain, Adrian Chesters dan warga Perancis Alexia Molina, 18, dijumpai bot nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi.

Seterusnya, mereka telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk rawatan lanjut.

Kedua-dua mangsa merupakan antara 4 penyelam dilaporkan hilang pada Rabu lalu ketika latihan mendapatkan lesen menyelam dan tidak timbul ke permukaan semula selepas kira-kira satu jam selaman.

Pada Khamis, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, telah ditemui selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi.

Khairul Nizam berkata, seorang lagi penyelam iaitu remaja lelaki Nathan Chesters berusia 14 tahun masih belum ditemui.

“Pasukan OP CARILAMAT kini giat melaksanakan pencarian bagi mengesan penyelam yang masih hilang itu pada hari ini yang lebih tertumpu di kawasan tenggara Johor sehingga selatan perairan Malaysia,

“OP CARILAMAT melibatkan seramai 85 petugas, 2 pesawat udara APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 9 bot daripada APMM, PPM, Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta agensi-egensi kerajaan serta komuniti nelayan setempat,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurutnya, sektor pencarian di laut diperluaskan sehingga 471.21 batu nautika persegi dan pencarian udara merangkumi keluasan 491.33 batu nautika persegi, menjadikan jumlah keseluruhan sektor pencarian adalah 962.54 batu nautika persegi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!