KUALA LUMPUR, 7 Apr – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah merekodkan sebayak 252,730 pengembara masuk dan keluar di pintu-pintu masuk utama negara sejak sempadan negara dibuka semula pada 1 April lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 126,392 direkodkan di balai ketibaan dan 28,301 berlepas melibatkan warganegara Malaysia, manakala 55,121 ketibaan dan 42,916 berlepas adalah pengembara asing.
Beliau berkata, pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi ialah di Bangunan Sultan Iskandar di Johor iaitu sebanyak 160,818 pelawat.
“Ia diikuti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak 38,407; Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor (53,113); Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) (11,712) dan Bukit Kayu Hitam, Kedah (6,980),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee turut menjelaskan, 5 buah negara merekodkan jumlah pengembara tertinggi iaitu Singapura (65,165), Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485).
Mengulas mengenai pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa pula, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya telah mengeluarkan 12,923 naskah pasport dalam tempoh yang sama.
“Dijangka (pengeluaran pasport) akan terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong ke luar negara dan mengerjakan ibadah umrah,” jelasnya.
Menurutnya, pembukaan semula sempadan negara menyaksikan peningkatan pergerakan keluar masuk pengembara asing ke negara ini sebanyak 76.4 peratus manakala pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa meningkat sebanyak 38.2 peratus.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan warga tempatan dan pengembara antarabangsa agar sentiasa mematuhi protokol am pengembara yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Kepada rakyat Malaysia, anda dinasihatkan supaya menyemak rekod senarai hitam dalam portal Jabatan Imigresen atau kiosk yang terdapat di KLIA,” ujarnya.
Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas selari dengan perancangan negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.-airtimes.my