ALOR SETAR, 6 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 190 kotak mercun dan bunga api yang disembunyikan di sebuah pelantar sekitar kawasan Kampung Ulu, Kuala Kedah, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kasim berkata, anggotanya yang sedang melaksanakan Operasi Landai telah berjaya mengesan longgokan kotak disyaki mercun dan bunga api.
“Longgokan kotak terbabit dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dan akan dibawa naik melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Kedah,
“Kotak tersebut juga dipercayai ditinggalkan sementara menanti keadaan selamat untuk dipindahkan ke tempat lain bagi tujuan pasaran tempatan,” katanya.
Tambahnya, penyeludup melakukan aktiviti ini berikutan pemintaan yang tinggi sempena musim perayaan yang akan datang.
“Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM7,000 dan mercun yang dirampas dibawa ke Markas Taktikal PPM Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya selepas pemantauan selama 4 jam, tiada pemiliknya yang datang,
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – airtimes.my