KUALA LUMPUR, 6 Apr – Pegawai, anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen atau tidak layak menerima bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dijangka seramai 120,615 orang pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat akan menikmati bantuan berkenaan.
Manakala, lebih kurang 200,000 orang veteran ATM juga tidak ketinggalan menerima manfaat bantuan khas kewangan ini.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan,
“Susulan dari pengumuman tersebut, sukacitanya saya ingin memaklumkan, menerusi Mesyuarat Kabinet hari ini, adalah disahkan bahawa bantuan khas kewangan turut akan merangkumi pegawai dan anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada berpencen mahupun tidak berpencen,
“Kementerian Pertahanan percaya, bantuan khas kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu anggota dan veteran ATM melakukan persiapan menjelang sambutan perayaan pada 1 Syawal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut menyarankan agar veteran ATM yang masih belum berdaftar dengan JHEV supaya membuat pendaftaran dengan segera agar dapat menerima bantuan berkenaan.
Dalam masa yang sama, beliau mewakili Kementerian Pertahanan, merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta keseluruhan jemaah Kabinet kerana mengambil kira anggota dan veteran ATM dalam pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri serta bantuan-bantuan lain sebelum ini.
“Ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap soal kebajikan warga ATM tetapi juga menyerlahkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi terhadap jasa serta pengorbanan para anggota dan veteran ATM kepada negara,” jelasnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM500 bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjawat awam dengan Gred 56 kebawah.
Menurut Ismail, pemberian itu juga turut diberikan kepada kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan gaji bulan April iaitu pada 25 April ini,
“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukkan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam serta pesara,
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya semalam.