Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 6 bot, 57 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

APMM tahan 6 bot, 57 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 6 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu melalui Operasi Kuda Laut (Op Kuda Laut) dan Operasi Naga Barat (Op Naga Barat) telah menahan 6 bot nelayan Vietnam di 6 lokasi berbeza iaitu pada jarak lingkungan 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, keenam-enam bot tersebut ditahan oleh Kapal Maritim (KM) GEMIA dan KM REDANG serta bot PENGGALANG 16 yang sedang melakukan rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan tersebut.

Beliau berkata, 6 bot tersebut juga dipercayai bot nelayan Vietnam berdasarkan struktur fizikal, nombor patel, tiada lesen serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM9 juta,

“Kesemua tahanan dibawa masuk ke Jeti APMM Negeri Terengganu untuk proses saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Muhammad Suffi menjelaskan, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Selain itu, mereka juga akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

Jelasnya, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!