KUALA LUMPUR, 5 Apr – Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan khas ini termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian (PSH) serta lantikan di bawah MySTEP.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.
Katanya, pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan gaji bulan April iaitu pada 25 April ini.
“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukkan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam serta pesara,
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Ismail Sabri, pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.
“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” ujarnya. – airtimes.