Home Semasa UiTM rehatkan Profesor Dr Roshana dari tugas mulai hari ini

UiTM rehatkan Profesor Dr Roshana dari tugas mulai hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Sorang pensyarah wanita yang sebelum ini tular kerana memperlekehkan pelajar B40 telah direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai hari ini.

Jabatan Komunikasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pihaknya menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada Khamis telah memutuskan untuk merehatkan Profesor Dr Roshana Takim sehingga siasatan lengkap dilaksanakan UiTM.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, pihak UiTM memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.

“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,” ujarnya.

Katanya, pihak UiTM sentiasa cakna serta prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.

“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian,

“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba.

Pelajar tersebut dikatakan mengikut kelas tersebut menggunakan telefon bimbit sahaja.

Pensyarah berkenaan turut meminta pelajar terbabit meminta kakaknya menggadai emas bagi membeli komputer riba.

Semalam, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian turut tersebar. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!