Home Pertahanan dan Keselamatan Tabung Ihya’ Ramadan ATM dilancarkan

Tabung Ihya’ Ramadan ATM dilancarkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melancarkan Tabung Ihya’ Ramadan dan Sumbangan Tabung Zakat Tahun 2022M/1443H bagi mengumpul dana serta sumber kewangan untuk membiayai aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Angkata Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Masjid Khalid bin Al-Walid (MKWK) pada Jumaat.

Markas ATM dalam kenyataan berkata, semua aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di MKWK adalah bertujuan membina sifat ehsan dan taqwa dalam diri setiap warga tentera serta masyarakat awam setempat.

Selain itu, ia juga dilihat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) khususnya dalam memperkasakan pensyariatan Ibadat Puasa Ramadan yang dituntut sebagai rukun asas dalam Islam.

“Selain mengutip sumbangan derma dari individu dan syarikat, pelancaran ini juga dapat menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid serta surau ATM khususnya pada bulan Ramadan

“Aktiviti ini juga akan meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal serta spiritual bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, Affendi turut melaksanakan penyerahan sumbangan Tabung Zakat ATM sebanyak RM183,500.00 kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan bagi tujuan pembiayaan program dan aktiviti kerohanian yang dilaksanakan sepanjang Ramadan yang melibatkan Masjid, Surau Jumaat serta Surau ATM.

Tabung Ihya’ Ramadan dan Sumbangan Tabung Zakat Tahun 2022M/1443H dilancarkan bagi mengumpul dana serta sumber kewangan untuk membiayai aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan ini.

“Konsep pengimarahan Ihya’ Ramadan pada tahun ini adalah melalui komitmen warga tentera bagi sumbangan berbentuk kupon dengan nilai minimum RM2.00 dan maksimum RM5.00 yang diagihkan kepada setiap Perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara,

“Majlis ini juga turut mendapat kerjasama penaja daripada Syarikat QSR Brands (M) Holdings Berhad bagi menaja pek KFC selama 30 hari (sepanjang Ramadan) dengan kos berjumlah RM160,500.00 serta sumbangan individu korporat bagi menampung kos penyediaan bubur lambuk dengan kos RM48,600.00 sepanjang bulan Ramadan tahun ini,” tambahnya.

Menurut ATM, kerjasama strategik bagi program bantuan Ramadan yang dianjurkan oleh KAGAT dengan kerjasama Syarikat QSR Brands (M) Holdings Berhad dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan satu program yang berkonsepkan kebajikan dalam meringankan beban kos sara hidup anggota tentera serta awam melalui bantuan pek makanan kepada golongan sasar iaitu asnaf ATM termasuk awam setempat.

“Jalinan kerjasama strategik ini secara tidak langsung dapat membuka ruang dan peluang kerjasama yang lebih luas di antara ATM melalui KAGAT bersama QSR Brands (M) Holdings Bhd serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke arah kebersamaan untuk gerak kerja kebajikan yang melibatkan lingkungan spektrum yang lebih menyeluruh,
“Program ini juga telah dijadikan Inisiatif Strategik Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 di bawah Teras 3, Kelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP) yang menggalakkan kerjasama strategik antara ATM dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” jelas ATM.

Turut hadir, panglima-panglima perkhidmatan, Pemangku Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Bhd, Hayazi Darus serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mahadi Sukarno. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!