[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=NkEOIg501y4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Semua peringkat termasuk Jemaah Menteri, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah bersetuju meneruskan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) bagi memenuhi keperluan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan membabitkan ketiga-tiga pihak yang sudah diadakan beberapa kali sebelum ini.
Menurutnya, persetujuan itu juga dicapai hasil perbincangan membabitkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed sebanyak 2 kali.
“Perkara paling penting dalam isu LCS ini adalah kapal-kapal yang dirancang ini dapat memenuhi keperluan dan diserahkan kepada TLDM,
“Kedua, kita mahu memastikan syarikat yang terbabit dengan pihak berkepentingan dapat pembelaan lebih-lebih lagi mereka yang bekerja sebagai vendor terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Jika ia tidak diselesaikan, mungkin menjejaskan kedudukan kewangan kita sendiri dan membawa kesan kepada pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan serta beberapa pemain industri pertahanan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 pada Rabu.
LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM yang bertujuan untuk memperkemaskan aset angkatan laut negara.
Kesemua 6 buah kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis, Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).
Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata, perbincangan antara beliau dan rakan sejawat dari Perancis, Florence Parliy yang menyentuh isu LCS akan diteruskan pada masa akan datang bagi mendapatkan pandangan dari negara berkenaan.
“Yang lebih penting untuk kita di Malaysia adalah memutuskan hala tuju penyelesaian LCS,” tegas Hishammuddin.-airtimes.my