KUALA LUMPUR, 29 Mac – Keselamatan dan kestabilan di wilayah Laut China Selatan adalah tanggungjawab bersama terutamanya bagi negara-negara ASEAN.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, pendirian Malaysia selama ini masih konsisten bahawa segala isu berkaitan pertindihan di kawasan tersebut perlu diselesaikan melalaui rundingan dan dialog untuk mencari kesepakatan.
Menurutnya, biarpun kenyataan keras lebih menarik perhatian, namun tanggungjawab semua negara ASEAN yang terlibat adalah memastikan ia ditangani dengan rundingan dan diplomasi.
“Kedudukan Malaysia di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten,
“Disebabkan oleh kerumitan dan sensitiviti isu, melalui konvensyen undang-undang antarabangsa yang ditetapkan, semua pihak mesti bekerjasama untuk meningkatkan usaha membina, mengekalkan dan meningkatkan sikap saling percaya,
“Selain itu, negara ASEAN juga perlu yakin supaya kita dapat mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Forum Putrajaya 2022, bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan, ASEAN juga tidak seharusnya mengabaikan peperangan yang berlaku antara Ukraine dan Russia kerana krisis yang tercetus antara 2 negara itu.
“Mengulas mengenai perkara itu (krisis Russia-Ukraine), saya ingin mengulangi pendirian Malaysia bahawa kami dengan serius menyatakan kesemua kuasa yang terlibat untuk mengambil langkah meredakan ketegangan yang berlaku,
“Malaysia akan terus menyokong usaha untuk mengembalikan keamanan di peringkat wilayah terbabit serta di peringkat global. Kami juga menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan tugas hakikinya iaitu mengembalikan keamanan dan keselamatan dunia,” tegasnya.
Hishammuddin berkata, negara ASEAN sebagai contoh, sentiasa mengambil langkah untuk mencari keseimbangan dalam melayari isu hubungan yang kompleks dalam rantau ini.
Tambahnya, kesemua ini dapat dicapai melalu dialog rasmi dengan rakan-rakan ASEAN secara berterusan.
Jelasnya, Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus merupakan platform penting bagi menteri pertahanan di rantau ini untuk melibatkan diri dan membincangkan isu-isu kepentingan bersama.
“Semua pihak perlu mengimbangi perhatian terhadap ancaman tradisional dan bukan tradisional secara halus, bergerak ke hadapan, berbanding 20 tahun lepas yang tumpuan diberikan kepada ancaman bukan tradisional, iaitu memerangi keganasan dan ekstremisme,” ujarnya. -airtimes.my