Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Projek LCS perlu diteruskan demi keperluan TLDM – Panglima Tentera Laut

Projek LCS perlu diteruskan demi keperluan TLDM – Panglima Tentera Laut

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Projek perolehan 6 buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu diteruskan kerajaan kerana aset tersebut merupakan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, TLDM berharap kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan projek LCS ataupun tidak secepat yang mungkin.

“LCS sebagai mana kita tahu, syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) ada masalah sedikit. Kita harap kerajaan buat keputusan sebelum hujung bulan ini sama ada mahu meneruskan projek ini ataupun tidak,

“TLDM berpandangan projek berkenaan perlu diteruskan berikutan dah lama sangat kita tunggu,” katanya ketika ditemui pemerita pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha pemulihan projek perolehan ini telah melalui beberapa peringkat pertimbangan Jemaah Menteri.

“Kabinet juga telah bersetuju supaya satu Jawatankuasa Khas Menteri ditubuhkan bagi mengkaji usaha pemulihan ini secara lebih terperinci serta kembali untuk pertimbangan kabinet,

“Hishammuddin turut memberi jaminan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berwajib untuk memastikan mana-mana pihak yang melakukan salah laku dapat dikenalpasti seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan,” katannya dalam Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada TLDM, walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu 2 buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!