KUALA LUMPUR, 23 Mac – Satu Sidang Khas Parlimen akan diadakan pada 11 April ini bagi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen.
“Sebenarnya saya sebentar tadi telah berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri dan kita telah bersetuju bahawa persidangan pada 11 April ini diadakan untuk membahaskan RUU Anti Lompat Parti,
“Kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) memang kuasa hak Perdana Menteri dan berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tapi tarikh itu ditetapkan dalam masa 14 hari oleh kerana ingin menjemput Ahli Parlimen datang pada 11 April itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga bersetuju untuk melanjutkan persidangan khas itu sekiranya tempoh masa satu hari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.
“Jadi Ahli Yang Berhormat jangan bimbang bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah beri ‘assurance’ (jaminan) kepada saya tadi, bahawa kita akan bentangkan RUU ini dan biarlah ahli-ahli Parlimen buat keputusan sendiri nak sokong atau tidak mahu sokong,
“Yang Amat Berhormat pun cakap kalau tak habis dalam satu hari, 2 hari pun boleh lepas ini. Kita tiada masalah berhubung dengan bulan puasa. Zaman dahulu, kita bulan puasa pun bersidang, hanya sekarang sahaja kita tidak bersidang,” katanya. – airtimes.my