Home Politik Kerajaan wajar nilai semula MoU dengan pembangkang – Tok Mat

Kerajaan wajar nilai semula MoU dengan pembangkang – Tok Mat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kerajaan perlu menilai semula Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dengan pembangkang yang dimeterai sebelum ini sebelum tempoh matang pada Julai ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangkang telah melanggar MoU ini selepas ahli parlimen mereka menolak usul kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

“Sesi Dewan Rakyat petang semalam menyaksikan usul Kerajaan untuk melanjutkan, antara lain, peruntukan seksyen 4(5) SOSMA 2012 telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah,

“Kegagalan usul ini adalah sesuatu yang tidak dijangka,

“Ia menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa Rang Undang-Undang sepenting ini tidak diuruskan dengan strategik sebelum di bentangkan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Khamis.

Beliau berkata, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-udang serta dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 MoU antara kerajaan dan pembangkang.

“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan,

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU sebegini adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji,

“Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka,

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan,” jelasnya.

Tegasnya, ia secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH.

“Mungkin telah tiba masanya kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!