KUALA LUMPUR, 23 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) perlu diberikan tumpuan kerana ianya melibatkan aset strategik.
“Projek pembinaan kapal tersebut merupakan salah satu elemen penting di dalam program Transformasi Armada TLDM 15 to 5,
“Pelan ini akan memperkasakan kesiapsiagaan TLDM dalam tanggungjawabnya mempertahankan kedaulatan perairan negara,
“Sewajarnya, projek berskala besar ini diberi tumpuan oleh kerajaan kerana ia membabitkan aset strategik
“Aset sebegini dapat memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap yang optimum,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan yang sama, TLDM menyatakan pihak Jawatankuasa Khas Menteri telah melakukan satu lawatan kerja ke Boustead Naval Shipyard SdnBhd (BNSSB) berhubung isu pembinaan LCS di Lumut, semalam.
Delegasi tersebut diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
TLDM menyatakan harapan mereka bahawa lawatan ini akan memberikan kesan positif kepada perolehan aset baharu demi kedaulatan negara.
“Dengan lawatan kerja tersebut, diharap ia dapat melancarkan lagi proses pembinaan dan perolehan aset baharu untuk TLDM,
“Ini berikutan aset pertahanan maritim negara yang kian usang demi mempertahankan perairan tanah air tercinta,” katanya.
LCS merupakan salah satu komponen utama dalam pelan strategik 15-to-5. Pelan yang dilancarkan pada tahun 2016 itu bermatlamat untuk mempertingkatkan keupayaan TLDM yang mampan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Melalui 15-to5, TLDM telah menggariskan perolehan 6 buah kapal LCS.
Perolehan LCS menjadi tumpuan berikutan kelewatan kapal ini untuk disiapkan. Sehingga kini, sasaran kapal pertama siap telah ditetapkan semula sehingga tahun 2025 sekiranya pelan pemulihan projek ini diluluskan.
Dalam Penggulungan Titah Diraja pada 16 Mac lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Khas Menteri belum membuat keputusan muktamad tentang usaha pemulihan projek LCS. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.