KOK LANAS, 23 Mac – Eksesais SATRIA GAGAH yang diadakan secara Pos Perintah (POSTAH) Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) bagi menguji kemampuan perancangan, keupayaan tempur, keberkesanan perintah dan kawalan di peringkat formasi serta pasukan.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Mk 2 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini bermula pada 21 hingga 25 Mac ini sebagai persiapan menghadapi Eksesais EAGLE BAKTI 2 Div pada bulan Jun 2022.
Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri telah menyempurnakan Majlis Pembukaan Eksesais SATRIA GAGAH (POSTAH) 8 Bgd yang diadakan di Padang Kawad 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Desa Pahlawan, pada Isnin.
“Pelaksanaan eksesais ini menggunakan Sistem Olah Perang Berkomputer (SOPK) Battle Tek IV secara komprehensif bagi menguji dan meningkatkan kemahiran merancang serta melaksanakan pelan aturgerak 8 Bgd dalam fasa peperangan konvensional,
“Eksesais ini melibatkan entiti daripada Pasukan Tempur, Bantuan Tempur dan Bantuan Khidmat formasi 8 Bgd bagi menguji tahap kemampuan perancangan, Taktik, Teknik & Prosedur (TTP),
“Ia juga bagi menguji keberkesanan perintah dan kawalan bagi mengenalpasti relevansi doktrin di peringkat pasukan serta formasi,” katanya.
Panglima 2 Div dalam ucapannya berkata, anggota yang terlibat perlu memainkan peranan dengan berkesan dan sebanyak mungkin menimba ilmu pengetahuan bagi meningkatkan profesionalisme masing-masing.
Pada majlis tersebut, Muhammad Huzaimi turut menyempurnakan pemakaian toha kepada Ketua Pengendali Eksesais iaitu Panglima 30 Bgd, Briged Jeneral Mohd Zaki Abu, Ketua Pelaku Biru iaitu Panglima 8 Bgd, Briged Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee, Ketua Tim Pengendali Atas, Ketua Tim Pelaku Merah serta Ketua Tim Evaluasi Latihan dan Evaluasi Doktrin. – airtimes.my