KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pengarah Eksekutif DSA, Nadzeem Abd Rahman menegaskan pameran pertahanan dwi-tahunan DSA 2002 dan NATSEC ASIA 2022 yang akan berlangsung pada akhir Mac ini akan memberikan faedah ekonomi kepada negara.
“Pameran ini akan menjadi penghubung untuk menarik lebih banyak kolaborasi, kerjasama, pelaburan antarabangsa,
“Malah boleh membantu merapatkan hubungan dua hala demi kemakmuran bersama,” katanya kepada Air Times.
Menurut beliau, penganjuran siri pameran pada kali ini lebih mencabar ketika negara dan global masih menghadapi ancaman pandemik COVID-19.
“Penganjuran acara antarabangsa berprofil tinggi seperti DSA dan NATSEC adalah sesuatu yang amat mencabar,
“Apatah lagi di kala pandemik global yang sedang melanda, dengan lebih banyak lagi isu-isu semasa, halangan dan kekangan yang harus diatasi,” ujar beliau.
Tambahnya, pihak penganjur mempunyai strategi dan prosedur tersendiri untuk memastikan kesihatan serta keselamatan semua terlibat dalam pameran ini.
“Ini termasuk perlaksanaan Gelembung Pameran Selamat (Safe Exhibition Bubble), yang telah diiktiraf oleh Kuartet Menteri Malaysia di bulan Februari 2022.
“Objektif utama bagi gelembung ini adalah bagi mempermudahkan urusan para peserta dari dalam dan luar negara,” jelas Nadzeem.
Dalam pada itu, pihak penganjur akan menyediakan platform maya untuk kemudahan semua peserta bagi mengakses kandungan program sebelum, semasa dan selepas pameran.
DSA 2002 dan NATSEC ASIA 2022 merupakan pameran dwitahunan yang akan berlangsung selama 4 hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama 4 hari mulai 28 Mac 2022. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.