Home Pertahanan dan Keselamatan ATM-UTM menterai persefahaman beri manfaat akademik, penyelidikan dan pembangunan bersama

ATM-UTM menterai persefahaman beri manfaat akademik, penyelidikan dan pembangunan bersama

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kekal komited menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan ulung negara melalui kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Markas ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, terbaharu, UTM melalui Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ATM untuk menggalakkan kerjasama akademik antara kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani MoU berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail bersama Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin serta di saksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Pertahanan, hari ini.

Jelas ATM, memorandum persefahaman ini merupakan kerjasama strategik yang diusahakan oleh ATM melalui Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan serta UTM dalam aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan untuk manfaat secara bersama.

“Ia juga sebagai pembuka laluan serta pengukuhan aktiviti kerjasama semasa dan masa hadapan antara ATM – UTM,

“Melalui kerjasama strategik ini, ia membuka peluang kepada sekumpulan kakitangan dan pegawai ATM untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, UTM Johor Baharu, melalui salah satu program akademik yang dikenali sebagai Program Sarjana Komputeran Inovatif (MIComp),

“Program akademik ini dilaksanakan secara program khas pascasiswazah dan sepenuh masa. Seramai 13 orang staf ATM terpilih menjadi perintis kepada program khas ini dan bakal bergraduan pada tahun 2023,” jelas ATM.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, dengan termeterainya MoU ini, beliau berharap ia dapat mempertingkat dan memperluaskn kerjasama antara UTM serta ATM dalam bidang akademik.

“UTM sentiasa mengalu-alukan sebarang peluang kerjasama yang akan memberi manfaat kepada UTM, rakan kerjasama sama ada agensi kerajaan atau industri, umat manusia (to the mankind) dan negara Malaysia,

“Harapan saya agar persefahaman antara kedua-dua pihak ini dapat meningkatkan lagi pertukaran dan perkongsian ilmu dan kepakaran antara UTM dan ATM dalam usaha mencapai kecemerlangan di samping mencapai visi dan misi organisasi,” ujar beliau.

Sementara itu, Affendi pula berkata, kerjasama ini merupakan suatu langkah yang tepat pada masanya dalam memastikan ruang siber dan elektromagnetik ATM khususnya serta negara amnya dilindungi dengan seketat-ketatnya dari sebarang ancaman.

Beliau juga berharap kerjasama yang dijalinkan dapat menjadi pemangkin untuk kedua-dua pihak menerokai bidang-bidang lain yang wajar dimanfaatkan secara bersama.

“Kolaborasi ATM-UTM akan menjadi lebih mantap sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar dalam memartabatkan tahap keupayaan negara,

“Justeru, harapan saya agar setiap perkhidmatan dapat menempatkan warga yang bakal dilengkapkan dengan kepakaran hasil kerjasama ATM-UTM ini ke Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan demi terus memperkasa domain siber Angkatan Tentera Malaysia,” jelas Affendi.

Tambahnya, hubungan kerjasama yang diwujudkan antara UTM dan ATM ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik dari industri, System Consultancy Services (SCS) Sendirian Berhad serta berharap ia dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua pihak di peringkat nasional mahupun global. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!