KUALA PERLIS, 23 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan seludup beberapa bungkusan mampat dipercayai ganja yang cuba diseludup ke negara jiran di 2 lokasi berasingan sekitar perairan Kuala Perlis, semalam.
Ketua Pengarah Zon APMM Kuala Perlis, Komander Maritim Noor Azreyanti Isha berkata, penemuan ketulan mampat tersebut dijumpai di sekitar 4.4 batu nautika barat Kuala Perlis manakala lokasi kedua pula di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis sekitar jam 10.33 pagi serta 11.15 pagi.
“Penemuan ini ditemui ketika rondaan rutin Operasi Aman yang dijalankan berikutan terdapat beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan terapung di 2 lokasi tersebut,
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan hitam berkenaan mendapati terdapat sebanyak 446 ketulan ganja mampat dianggaran seberat 446 kilogram berjumlah RM2,230,000.00 cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan air,” jelas beliau dalam satu hantaran media sosialnya semalam.
Noor Azreyanti menjelaskan, kesemua bungkusan yang telah dibalut kemas itu dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 38 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -airtimes.my