Home Pertahanan dan Keselamatan APMM 4 jam kejar bot nelayan Vietnam rompak hasil laut negara

APMM 4 jam kejar bot nelayan Vietnam rompak hasil laut negara

by Nurulhuda

KUCHING, 23 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 2 bot nelayan asing yang menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak lebih kurang 120 batu nautika dari tenggara Tanjung Sirik, pada Isnin lalu.

Pengarah APMM Malaysia Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot tersebut didapati menangkap ikan secara tunda ganding tanpa permit yang sah.

Menurutnya, tangkapan pertama dikesan Kapal Maritim (KM) Arau pada jam 6.30 pagi Isnin ketika anggota sedang membuat rondaan di sekitar perairan Beting Patinggi Ali.

“KM Arau terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 4 jam untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Manakala bot kedua pula dikesan sekitar jam 11.30 pagi dan KM Arau telah mengambil masa hampir 1 jam sebelum berjaya menahan bot kedua.

Tambahnya, berdasarkan struktur fizikal kedua-dua bot tersebut, ianya disyaki bot nelayan asing Vietnam.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara,

“Seramai 33 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” jelas beliau.

Zin Azman menjelaskan, bot dan kesemua kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Jeti APMM KOMTAS, Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Manakala, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 22,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 30 tan ikan campur turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM2.5 juta,

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara dan pesalah boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong, manakala kru boleh didenda RM600 ribu setiap seorang serta vesel tersebut boleh dilucut hak,” tambahnya.

Jelasnya, tekong dan kesemua kru turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!