Home Pertahanan dan Keselamatan Polis tumpas sindiket pengedaran dadah bernilai RM800 ribu

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah bernilai RM800 ribu

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM800,000 dalam 5 serbuan yang berasingan di sekitar Kulai, pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 7 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bersama polis Bukit Aman telah berjaya merampas 127.73 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis.

“Turut ditahan 6 lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 46 tahun yang dipercayai ahli sindiket dadah terbabit,

“Hasil saringan air kencing mendapati 4 suspek positif dadah dan 3 lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengubah suai kenderaan yang digunakan pada bahagian kerusi penumpang belakang bagi menyembunyikan dadah yang dibawa masuk dari dalam negara, untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Polis juga turut menemui dadah yang disembunyikan dalam 2 kediaman anggota sindiket berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak Mac tahun lalu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebanyak 107.07 kilogram (kg) ganja, 10.31 kg heroin, 9.93 kg syabu dan 422 gram magic mushrooms telah dirampas.

Menurutnya lagi, turut dirampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak dan 6 butir peluru hidup.

“Polis menyita 6 kereta bernilai RM215,000, wang tunai RM13,400 serta mata wang asing Thailand Baht, Filipina Peso dan Singapura Dolar bernilai keseluruhan RM7,184,

“Semua 6 suspek direman selama 7 hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini (26 Mac) untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!