Home PolitikPakatan Harapan Ketika PKR dikhianati, ada pemimpin pilih untuk bercuti – Saifuddin

Ketika PKR dikhianati, ada pemimpin pilih untuk bercuti – Saifuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, ketika berlaku pengkhianatan dalam PKR, ada dalam kalangan pemimpin parti itu yang memilih untuk bercuti.

“Sukarnya KEADILAN bergerak tatkala sejumlah pimpinan utama khianat. Yang tinggal pula ada yang memilih bercuti,

“Tugas mengukuh parti digalas DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pimpinan lain yang tinggal,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Khianat yang dimaksudkan Saifuddin dipercayai merujuk kepada tindakan ahli-ahli parlimen PKR iaitu diketuai bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Azmin Ali yang meninggalkan parti ketika berlaku krisis politik ‘Langkah Sheraton’ pada Feb 2020.

Krisis politik itu menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan Azmin serta kumpulannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Manakala, pemimpin PKR yang dikatakan memilih untuk bercuti itu, dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Tambah Saifuddin, biropolitik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP) menjadi platform menyusun segala langkah dan strategi parti.

“DSAI kekal dengan disiplin organisasi yang tinggi. Tekun mendengar pandangan semua. Sabar memberi bimbingan dan tunjuk ajar,

“Sesekali tegas dan keras dalam membuat keputusan. Pesanan beliau mudah. Sebelum parti buat keputusan sila beri pendapat,

“Boleh setuju boleh tidak setuju. Tegur dan kritik tapi jangan sesekali beri “ultimatum”,” tegasnya.

Saifuddin menjelaskan, apabila PKR membuat keputusan, pimpinannya perlu patuh dan melaksanakan keputusan berkenaan.

“Begitulah PKR. Setiap keputusan parti dibincang dan diputuskan bersama. Baik buruk sesuatu keputusan parti kita ambil tanggungjawab,

“Jauh sekali berlepas tangan. Ini prinsip pertanggungjawaban yang kita anuti,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply