Home Pertahanan dan Keselamatan PVATM tubuh jawatankuasa khas perjuangkan isu veteran

PVATM tubuh jawatankuasa khas perjuangkan isu veteran

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Demi memperjuangkan isu-isu yang membelengu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Veteran ATM (PVATM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Veteran (JKKV) pada 14 Februari lalu.

Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) berkata, pihaknya berusaha untuk memperkasakan semula Majlis Angkatan Tentera (MAT) agar melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia dan Akta Angkatan Tentera 1972 serta perintah Yang Dipertuan Agong.

“Idea penubuhan JKKV tercetus apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan kenaikan tahunan pencen sebanyak 2 peratus adalah tidak sah, pada 13 Januari lalu,

“Objektif utama penubuhan JKKV adalah untuk mengkaji, meneliti secara terperinci mengenai masalah pencen dan ganjaran anggota ATM berpandukan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada,

“Iaitu Perlembagaan Malaysia (Artikel 137 dan 147), Akta Angkatan Tentera Tahun 1972 (Seksyen 15, 36 dan 187) serta Peraturan Pencen dan Ganjaran ATM 1982,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Jelas Sharuddin, JKKV juga berperanan membuat kajian ke atas aspek kebajikan bagi memastikan kehidupan veteran lebih selesa dan sejahtera. Ia merangkumi pembelaan ke atas veteran tidak berpencen, bekas tentera yang diberhentikan kerana masalah displin serta balu berdasarkan 5 isu utama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-95 PVATM tahun lalu.

“Pelarasan pencen bagi tujuan merapatkan jurang perbezaan di kalangan veteran dalam pangkat yang sama,

“Pembelaan secara berterusan terhadap veteran tidak berpencen serta pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan atas sebab disiplin agar diiktiraf sebagai veteran,

“Pembelaan terhadap balu veteran yang dikahwini dalam masa persaraan di mana jangkamasa pemberian Pencen Terbitan dipanjangkan,

“Mewujudkan pemberian Elaun Kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai satu pengiktirafan kepada mereka yang telah berjuang semasa era Darurat II,” jelasnya.

Ujar beliau, penubuhan JKKV telah diluluskan oleh Majlis Eksekutif dan mengikut Perlembagaan yang telah ditetapkan. Manakala, perlantikan individu yang menganggotai JKKV pula tidaklah berdasarkan pangkat atau jawatan semasa dalam perkhidmatan ATM.

“Kriteria perlantikan berdasarkan kepada kemampuan, pengalaman dan kepakaran masing-masing,

“Mengambil kira dari pelbagai sudut, Leftenan Jeneral Datuk Nawi Alias (Bersara) telah dilantik menjadi Pengerusi JKKV berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman serta semangat juangnya,

Pengerusi JKKV turut diberi mandat untuk  melantik beberapa individu di kalangan pegawai dan anggota yang berpengalaman dan berpengatahuan dalam perundangan negara dan peraturan gaji, elaun, pencen serta ganjaran perkhidmatan ATM,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyedari adanya kumpulan dalam entiti veteran yang juga memperjuangkan perkara sama dengan pendekatan berbeza, namun tiada sebarang halangan pihaknya ke atas tindakan itu oleh kerana matlamat yang akan memberi manfaat kepada veteran kelak.

“Walau bagaimanapun, dalam usaha memperjuangkan isu kebajikan veteran, janganlah hendaknya ada pencanggahan dan perselisihan serta mengkotak-katikkan sesama sendiri yang menunjukkan perpecahan,

“Saya selaku Presiden PVATM menyeru agar semua veteran dan balu di Malaysia ini mengiktiraf serta memberi sokongan padu kepada JKKV untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan,” katanya.

Oleh itu, beliau juga menyeru mana-mana pihak di kalangan veteran yang mempunyai kemampuan ke arah keberkesanan pencapaian objektif JKKV untuk tampil ke hadapan secara sukarela tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!