KUALA LUMPUR, 20 Mac – “Jika yakin dengan kemenangan, kita tidak akan tunggu walau satu saat pun untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, akan berbincang dengan kepimpinan UMNO terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) untuk diperhalusi.
“Saya mendengar daripada perwakilan mengenai PRU-15,
“Saya mendengar dengan tekun dan memahami kehendak tuan-tuan serta puan-puan sekalian, kalau dipersetujui. Beri saya bersama dengan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden ataupun ‘Top 5’ untuk membincangkan perkara ini,
“InsyaAllah selepas Top 5 membincangkan, kita akan membawa ke dalam MKT untuk bincangkan bersama-sama,
“InsyaAllah kita semua di atas ini, tak kira siapa pun mahu Barisan Nasional (BN) menjadi parti dominan semula di negara ini,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, semalam.
‘Top 5’ tersebut merujuk kepada Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.
Katanya, untuk memenangi pilihanraya UMNO dan BN mesti bersatu padu.
“Saya umumkan pada 1 April di dalam masjid kita rapatkan saf dan di dalam UMNO juga kita mesti rapatkan saf bersama-sama kepemimpinan tertinggi sehingga ke peringkat akar umbi,
“InsyaAllah kemenangan PRU-15 ditangan UMNO dan BN,” ujarnya. – airtimes.my