KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan kad prabayar Touch n Go dan kad mata ganjaran yang bersembunyi di sebuah kondominium mewah terletak di Cheras, pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada jam 4 petang.
“Hasil serbuan yang dilakukan telah berjaya menahan seramai 5 individu termasuk 3 wanita ditahan terdiri daripada 2 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta 2 wanita warga asing,
“Kesemua suspek yang ditahan berusia 30 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya lagi, turut dirampas sebuah unit komputer riba; 8 telefon bimbit pelbagai jenama; 1,400 keping kad Touch n Go; 5,200 keping kad mata ganjaran; 35 keping resit kad ganjaran dan 3 buku cek.
“Kita turut merampas satu unit pembaca data kad yang disyaki merupakan peralatan digunakan untuk menambah nilai kad Touch n Go dan kad mata ganjaran secara tidak sah,
“Sindiket ini telah mula beroperasi sejak Mac tahun lalu dan kad yang telah ditambah nilai secara tidak sah itu digunakan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya. – airtimes.my