KUALA LUMPUR, 17 Mac – Masjid dan surau di wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan berkuat kuasa 1 April depan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata, ketetapan berikut dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan ke Endemik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu.
Mohd Ajib menjelaskan, jemaah juga digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri sepanjang melaksanakan ibadah.
“Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksinasi COVID-19,
“Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadhan ini. Manakala, Qiamullail dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau serta makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus,
“Dibenarkan aktiviti tadarus Al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil,” jelasnya.
Tambahnya, ketetapan ini adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan ke Endemik, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan berkuat kuasa 1 April 2022,
“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan serta terus berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera dibendung sekaligus negara Malaysia sentiasa mendapat kesejahteraan daripada Allah SWT,” ujarnya.-airtimes.my