SEMENYIH, 17 Mac – Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih telah membuat serbuah ke sebuah premis dan menahan seorang lelaki warganegara Malaysia serta 2 lelaki warganegara India yang menjalankan aktiviti memproses arak tiruan di sekitar daerah Gombak, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Polis (SUPT) Rizal Mohamed berkata, lelaki yang berumur diantara 25 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah barang ke dalam kenderaan di premis tersebut pada jam 1.30 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan telah menjumpai 213 kotak iaitu 2,566 botol arak tiruan yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.
“Manakala pemeriksaan ke atas premis telah menjumpai 6 kotak (72) botol arak. Turut ditemui peralatan memproses arak tiruan, pelekat khas Kastam dan jenama arak,
“Jumlah keseluruhan minuman keras yang dirampas sebanyak 219 kotak bersamaan 2,628 botol dengan anggaran nilai barang berjumlah RM204,571.00 dan nilai cukai berjumlah RM326,085.00,” jelasnya dalam kenyataan.
Rizal turut menjelaskan, turut dirampas 10 tong drum berisi Alkohol Jenis Ethanol [1,590 liter] anggaran nilai RM406,917.50; peralatan memproses arak dan mesin pembotolan bernilai RM22,500.00; 2 buah telefon bimbit anggaran nilai RM1,100.00; sebuah lori anggaran RM100,000.00 dan sebuah van anggaran nilai RM15,000.00.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,074,173.50.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Gombak, untuk tindakan serta siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 (Kesalahan Membuat, Memproses Arak dan Memiliki Peralatan Membuat Arak) dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu lagi rangkaian pembuatan dan pengedaran minuman keras secara haram di kawasan Selayang serta Gombak.
“Kami menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tegasnya. -airtimes.my