KUALA LUMPUR, 17 Mac – Rakyat Malaysia yang berada di Australia boleh membuat permohonan pembaharuan pasport secara atas talian menerusi Sistem Pasport Online bermula 22 Mac ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Jabatan Imigresen (JIM) mengambil maklum mengenai kesukaran yang dilalui rakyat Malaysia di Australia dalam urusan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) akibat pandemik COVID-19.
Menurut Khairul Dzaimee, kesukaran tersebut disebabkan perintah-perintah sekatan oleh pihak berkuasa negara tersebut.
“Sejak pandemik COVID-19 melanda, JIM menguruskan proses pembaharuan pasport berkenaan melalui Sistem Temujanji Online (STO) kerana bilangan pelanggan terpaksa dihadkan dan tempoh operasi juga terpaksa dipendekkan,
“Oleh yang demikian, JIM telah mengambil langkah berikut bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di sana,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semua warganegara Malaysia di Melbourne dan seluruh Australia boleh membuat permohonan pembaharuan pasport secara atas talian melalui Sistem Pasport Online di pautan https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport mulai 22 Mac 2022.
“Satu pasukan khas pegawai-pegawai JIM dari Putrajaya akan dihantar segera supaya bilangan pasport yang diproses di Melbourne dapat ditingkatkan dan waktu operasi dipanjangkan melalui sistem syif,
“Dalam masa yang waktu operasi pejabat JIM di Melbourne akan dilanjutkan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perlanjutan tempoh masa secara automatik selama 2 tahun akan diberikan bagi kes-kes kritikal seperti pelajar dan pekerja supaya mereka boleh memperbaharui visa di sana.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya tidak menunggu di saat-saat akhir untuk memperbaharui pasport mereka,” jelasnya. – airtimes.my