SEMPORNA, 6 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah mematahkan cubaan penyeludupan minyak dengan menahan sebuah kapal kargo bersama 70,000 liter diesel dianggarkan berjumlah RM150,000 di perairan Pulau Bohayen, semalam.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad kenyataan berkata, Radar Coastal Surveillance System (CSS) berhampiran Pulau Danawan telah mengesan kapal kargo tersebut dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Semporna menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia – Filipina pada jam 2 petang.
Menurutnya, VIPER 04 bersama pasukan Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke kawasan tersebut dan membuat pintasan serta menahan kargo berkenaan.
“VIPER 04 dan bot Rigid Hull Inflatable Boat (RIB) telah diarahkan untuk mengiringi kapal kargo tersebut ke Jeti Azumi untuk pemeriksaan terperinci,
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan terdiri daripada 5 orang awak-awak lelaki, berwarganegara Malaysia berusia antara 31 hingga 54 tahun, serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,
“Kapal kargo tersebut membawa minyak diesel berkapasiti 70,000 liter yang dianggarkan bernilai RM150,500.00,” jelasnya.
Tambahnya, hasil keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal kargo tersebut dianggarkan bernilai RM650,500.00.
Abdul Karim menjelaskan, kapal kargo tersebut ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kesemua awak-awak kapal kargo tersebut telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan seterusnya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi laporan Polis,
“Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan, pelaksanaan Operasi Pasir dan Operasi Benteng Bersama di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, dapat menjamin keselamatan perairan pantai timur Sabah agar sentiasa berada ditahap terbaik.-airtimes.my