KOTA BHARU, 2 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk ke pusat peperiksaan, khususnya di jajahan Pasir Mas yang kini terjejas akibat banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum Datuk Pkharuddin Ghazali berkata sebanyak dua trak tiga tan digerakkan bagi mengangkut 141 calon SPM 2021 untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang.
Beliau berkata sekolah itu tidak ditenggelami banjir namun laluan untuk ke sekolah digenangi air sekitar paras 0.3 meter sekali gus menyukarkan calon untuk melalui jalan berkenaan bagi menduduki peperiksaan.
“Semalam saya berhubung dengan Panglima Briged 8 di Kem Desa Pahlawan dan pihak ATM memberikan dua trak untuk mengangkut pelajar dari jalan utama memasuki ke sekolah. Kita tidak mahu pelajar datang untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan basah atau sebagainya.
“Operasi ini akan diteruskan sehingga paras air banjir di kawasan berkenaan surut dan jalan boleh dilalui seperti sedia kala. Dari segi penugasan, anggota ATM akan melakukan penggiliran tugas dan kita amat menghargai kerjasama ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan SPM 2021 di SMK Zainab 1, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Pkharuddin berkata setakat hari ini sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah di Pasir Mas yang dijadikan pusat peperiksaan SPM terpaksa ditutup kerana tidak dapat digunakan disebabkan banjir selain suasana tidak kondusif untuk melakukan peperiksaan.
“Sekolah berkenaan melibatkan 19 calon SPM. Jadi secara keseluruhan seramai 723 calon di negeri ini setakat ini yang terkesan dengan musibah banjir terpaksa menangguhkan peperiksaan itu yang bermula hari ini.
“Calon berkenaan akan dibenarkan menduduki peperiksaan semula bagi sesi kedua mengikut penjadualan semula pada 4 April sehingga 28 April bersama-sama dengan calon positif COVID-19 dan calon yang menjalani tempoh kuarantin sepanjang tempoh 2 Mac hingga 29 Mac,” katanya.
Mengenai tinjauan perjalanan SPM yang dilakukan itu, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 selain pelajar juga dilihat jujur dalam menyatakan status kesihatan mereka.
“Mengikut pemerhatian sepanjang tinjauan, pelajar melakukan saringan suhu di pintu masuk sekolah selain perlu mengisi borang deklarasi saringan COVID-19.
Borang ini sangat penting bagi calon menyatakan status kesihatan mereka,” katanya.
Semalam media melaporkan, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan tujuh sekolah iaitu SMK Rantau Panjang; SMK Gual Periok; SMK Baroh Pial; Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang; SMK Meranti; Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram; dan SMU Khairiah Banggol Setol ditutup susulan banjir di pusat peperiksaan itu.- Bernama