[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=hIM8oZEcPUg[/embedyt]
PORT DICKSON, 1 Mac – Bermula dengan penubuhan sebuah ketumbukan kecil yang hanya dianggotai seramai 25 orang anak watan berjiwa kental, Tentera Darat Malaysia (TDM) terus mengorak langkah membina kekuatan sendiri dan berusaha meningkatkan keupayaan sesuai dengan ancaman pada masa kini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, pelbagai pengalaman telah diraih sepanjang 89 tahun ini, yang dijadikan pengajaran dan dorongan untuk TDM menjadi sebuah angkatan yang cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan termasuk dari masyarakat antarabangsa.
Zamrose menjelaskan, sepanjang tempoh kewujudannya, TDM telah menempa kejayaan demi kejayaan, antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrantasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara-negara yang bergolak dan menggagalkan pencerobohan oleh anasir-anasir pengganas dari luar negara.
“Selain itu, TDM turut menjadi peranan utama dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, penularan wabak COVID-19 dan sebagainya,
“TDM juga turut membantu masyarakat awam melalui penganjuran Program Jiwa Murni yang telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun 2021 yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Sambutan Hari Tentera Darat yang ke-89 yang diadakan di Kem Segenting, hari ini.
Menurutnya, bagi mengekalkan kecemerlangan TDM dalam memainkan peranannya sebagai benteng utama pertahanan negara, 3 prinsip dan 5 tonggak utama telah digariskan untuk dijadikan panduan oleh seluruh warganya.
“Hasil daripada keberkesanan pelan tindakan yang direncanakan, TDM telah mencapai banyak kejayaan untuk kelima-lima tonggak tersebut, ia termasuklah peningkatan keupayaan dan kesiagaan TDM,
“Keutuhan organisasi telah dapat diperkemaskan melalui penstrukturan semula yang dilaksanakan, kualiti dan kesejahteraan hidup warga juga telah dapat ditambah baik, manakala hubungan kerjasama antarabangsa terus dijalin, sama ada secara bersemuka atau melalui sidang video,
“Semua pencapaian ini diperolehi hasil daripada kerja keras serta komitmen tinggi yang diberikan oleh seluruh warga TDM,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Zamrose berkata, antara cabaran mungkin dihadapi adalah ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman wabak penyakit berbahaya Covid-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.
Jelasnya, walaupun cabaran itu bersifat ‘intangible’ dan berada di luar daripada kawalan, itu tidak bermakna tidak perlu melakukan sebarang persiapan untuk menghadapi cabaran itu,
“Justeru, semua peringkat kepemimpinan perlu sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan berkesan, menerapkan kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,
“Hanya dengan persiapan rapi akan membolehkan kita mengatasi setiap cabaran yang akan datang,” tegasnya.
TDM mengangkat tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ kerana aspek kesejahteraan dan kebajikan merupakan faktor utama moral serta semangat untuk melaksanakan tugas primer dengan lebih baik.
Selain itu, ia juga bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan negara. Tema ini adalah berteraskan kepada Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan turut merangkumi intipati kesemua Tonggak dalam merealisasikan matlamat dan halatuju TDM.
Terdahulu, Zamrose menyaksikan Demonstrasi Dinamik yang mempamerkan keupayaan aset dan kompetensi membabitkan penyertaan seramai 951 pegawai dan anggota TDM.
Salain itu, demonstrasi ini juga disokong dengan 72 aset dan persenjataan membabitkan kenderaan seperti kereta kebal PT91M Pendekar, Lipan Bara, Kenderaan Perisai 8×8 Gempita dan Kenderaan Berperisai Berantai Adnan.
Turut dipertotonkan Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, Kenderaan Pengangkut Senjata VAMTAC, Scrambler, 72 Bot Tempur dan Rigid Inflatable Boat (RIB) dan lain-lain aset.
Aksi berkenaan yang dilaksanakan secara fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa kehadiran penonton awam berlangsung hampir satu jam bermula 9 pagi tadi.
Panglima Tentera Darat menjelaskan demonstrasi dinamik ini merupakan manifestasi TDM kepada kerajaan dan rakyat di mana mereka sentiasa bersedia pada sebilang masa dan berupaya melaksanakan apa saja tugasan serta misi yang diamanahkan.
Selain itu, acara Perbarisan Tempur yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Din Izuan Mahar Afandi melibatkan 8 detasemen terdiri daripada Detasemen Tempur, 10 Briged (PARA), 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Bantuan Tempur dan Kontinjen Wanita TDM.
Manakala di ruang udara turut menyaksikan pertunjukan pesawat seperti 3 buah helikopter LOH A109 Agusta yang membawa bendera ATM, TDM dan Jalur Gemilang. -airtimes.my
Galeri gambar: