Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan sedang perinci protokol pembukaan sempadan negara – Hishammuddin

Kerajaan sedang perinci protokol pembukaan sempadan negara – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kerajaan melalui Kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol termasuk pra pelepasan dan ketibaan ke dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaik sahaja protokol tersebut dimuktamadkan dan kebenaran diberikan, rakyat Malaysia boleh pergi ke negara yang turut telah membuka sempadannya.

“Kabinet pada awal Februari turut telah bersetuju dengan pembukaan sempadan negara. Cadangan tarikh untuk melaksanakannya juga telah ada dan ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya semasa sidang akhbar Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 berkata, tindakan ini selari dengan arahan Kuartet pada 8 Februari, dimana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama beberapa kementerian serta agensi telah duduk semeja pada 26 Februari lalu.

Antara kementerian terlibat adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Bagi agensi pula, ia melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holding Berhad, Malaysia Convention and Exhibition Bureau, Malaysia Airlines dan Tourism Malaysia.

“Susulan itu, satu keputusan secara prinsip telah dicapai iaitu pembukaan semula sempadan negara merupakan satu keperluan,” jelasnya.

Jelas Hishammuddin, keputusan tersebut bersandarkan kepada 3 perkara asas iaitu memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan, berpandukan sains serta fakta terkini berkaitan COVID-19 selain membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara-negara lain.

Selain itu, beliau berkata, terdapat kaedah lain untuk rakyat pergi ke luar negara iaitu menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL).

“Skim ini membolehkan pergerakan keluar dan masuk antara Malaysia dengan negara yang masih menutup pintu sempadannya,

“Buat masa ini skim VTL telah dimanfaatkan antara Malaysia-Singapura. Perdana Menteri juga telah umum skim VTL antara Malaysia-Thailand dan Malaysia-Brunei bakal dilaksanakan dalam masa terdekat,

“Dalam masa sama, KLN dan MOT juga sedang meneliti negara-negara yang berpotensi untuk dimasukkan dalam senarai skim VTL dari masa ke masa,” ujarnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!