KUALA LUMPUR, 1 Mac – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tiada percanggahan dalam membuat keputusan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi misi bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau berkata, mekanisma jalinan kerjasama antara 2 agensi ini adalah berjalan dengan baik kerana NADMA adalah penyelaras bencana di Peringkat Persekutuan sebagaimana Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN 20).
“Tiada percanggahan dalam membuat keputusan bagi menyegerakan bantuan menyelamat mangsa-mangsa banjir kerana tindakan bantuan tersebut dilaksanakan berdasarkan kepada pengarahan yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan ATM sebagaimana Direktif Pemula Operasi Bantuan Bencana – Operasi MURNI,” katanya.
Katanya ketika menjawap soalan tambahan dari Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat-PH) yang bertanya mekanisme jalinan kerjasama antara ATM dan NADMA berjalan baik kerana pandangan berlaku percanggahan dalam memutuskan tindakan segera diambil dalam membantu menyelamat mangsa-mangsa banjir.
Mengulas lanjut, beliau berkata, arahan pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi menghadapi Monsun Timur Laut tahun 2021/2022 telah dikeluarkan kepada semua agensi oleh NADMA pada 2 November 2021.
“Berdasarkan kepada pengarahan tersebut, ATM telah mengarahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir,
“Bagi tujuan tersebut, semua Panglima-panglima Divisyen dan Briged di setiap wilayah dan negeri telah meletakkan pasukan-pasukan mereka dalam status siap sedia untuk diaturgerakkan bagi melaksanakan bantuan dan pegawai perhubungan tentera dihantar ke setiap PKOB Negeri dan Daerah untuk memantau situasi semasa,” ujarnya.
Tegasnya, ATM merupakan salah satu agensi dari pelbagai agensi kerajaan yang lain yang ditugaskan bagi membantu dalam pengurusan banjir terutama dari aspek operasi mencari dan menyelamat.
“Perkara ini temaktub seperti dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara, MKN No. 20, iaitu berkaitan perkara Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana,
“Bagi maksud ini, ATM melalui TDM dilantik sebagai peneraju dalam Pengurusan Operasi Banjir ATM di bawah Operasi MURNI, di mana pelarasan akan dibuat oleh PKOB di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,” jelasnya. – airtimes.my