LUBNAN, 25 Feb – Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (United Nations Interim Force in Lebanon, UNIFIL)) sejak tahun 2007 berjaya meningkatkan imej Malaysia dan ATM khususnya.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyatakan, ATM bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui peranan kontinjen MALBATT sangat dihormati oleh masyarakat Lubnan.
Affendi menjelaskan, kontijen MALBATT sangat dikenali masyarakat Lubnan berdasarkan sikap profesional yang dipamerkan oleh setiap pegawai dan anggota kontinjen terutama komitmen mereka melalui Program Kerjasama Awam dan Tentera bagi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau CivilMilitary Coordination in UN Integrated Peacekeeping Missions (UN-CIMIC).
“Kehadiran mereka yang berperanan mengawalselia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer persegi terus diyakini apabila usaha membina persefahaman serta penerimaan positif kontinjen berkenaan sentiasa diperkukuh dengan tanpa mengabaikan konsep winning the heart and mind terhadap penduduk tempatan setiap kali program CIMIC dilaksanakan,
“Kesinambungan gerak kerja ini menjadi antara agenda utama dari satu kontinjen ke kontinjen yang seterusnya, dalam usaha memperkasakan aspek jaringan perhubungan bersama komuniti tempatan seterusnya mencapai aspirasi sebagai salah sebuah Kontinjen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kredibel dan dihormati,” jelas ATM dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada sesi lawatan kerja di kawasan tanggungjawab Kontinjen MALBATT 850-9, Affendi turut berpeluang merasmikan MALBATT Fisioterapi Centre di Haidar Khalil Medical Centre, Ma’rakah yang turut disaksikan oleh Mayor Ma’rakah, Mr Adel Saad dan Pengarah Haidar Khalil Medical Centre, Mr Ali Trad.
“Projek CIMIC di bawah program Troop Contributing Countries (TCC) ditaja sepenuhnya oleh MALBATT 850-9 ini melalui perancangan rapi Sel CIMIC kontinjen berkenaan,
“Sesungguhnya pembinaan ini amat disyukuri dan dihargai oleh komuniti Ma’rakah dan komuniti berhampiran atas manfaat besar bagi mereka yang memerlukan rawatan kerana ia merupakan satu-satunya pusat fisioterapi yang ada di daerah tersebut,” jelasnya.
Projek ini telah diluluskan pada 15 Januari 2022 oleh Markas Angkatan Bersama (MK AB) di mana kerja-kerja pembinaan pusat fisioterapi berkenaan dengan ruang bangunan yang disediakan oleh pihak Haidar Khalil Medical Centre telah dilaksanakan oleh Elemen Jurutera MALBATT 850-9 bermula 13 Februari lalu dan siap sepenuhnya pada 19 Februari 2022.-airtimes.my
Galeri gambar: