KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan dibuka semula mulai esok (25 Februari 2022).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, untuk permulaan PKRC tersebut akan menempatkan 100 katil dan ia akan ditambah mengikut keperluan sehingga 850 katil.
Beliau berkata, pembukaan semula PKRC MAEPS itu merupakan langkah pre-emptive bagi memastikan perkhidmatan hospital di Lembah Klang untuk kes bukan COVID-19 tidak terjejas
“Pembukaan semula PKRC ini bukannya kerana kita tidak cukup katil di hospital, tetapi kita tidak mahu mengganggu perkhidmatan hospital di Lembah Klang yang memberi rawatan kepada pesakit bukan COVID-19 terutamanya kes elektif yang tertangguh di hospital berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini, PKRC MAEPS ditutup pada 8 Februari lepas selepas melihat penurunan kes wabak tersebut, bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes baru-baru ini, pusat kuarantin itu bakal dibuka semula.
PKRC MAEPS 1.0 mula beroperasi pada 30 Mac 2020 dan tamat pada Julai 2020 namun pada 9 Disember 2020, PKRC MAEPS 2.0 diaktifkan semula berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak susulan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sebagai rekod, PKRC MAEPS 2.0 telah memberi rawatan kepada 166,072 pesakit COVID-19 sepanjang 14 bulan pengoperasiannya, sekaligus dapat meringankan beban hospital COVID-19 di semenangjung. -airtimes.my