Home PolitikBarisan Nasional Kalau Muhyiddin bercakap benar, kenapa takut bersumpah laknat? – Ahmad Zahid

Kalau Muhyiddin bercakap benar, kenapa takut bersumpah laknat? – Ahmad Zahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Feb – “Kalau dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulamak sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat,” tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu menjelaskan, tindakan menyeru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk melaksanakan sumpah laknat adalah cara segera bagi mempertahankan dirinya daripada pembohongan.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin menghampiri dan menerima tohmahan sebegitu, beliau tidak mempunyai banyak pilihan.

“Jika membawanya ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah PRN Johor lama berakhir,

“Bersumpah bukan perkara main-main jika implikasinya mungkin tidak di dunia, tetapi di akhirat nanti,

“Itulah destinasi sebenar kehidupan setiap insan sedangkan dunia hanyalah tempat tumpangan sementara semata-mata.

“Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulama sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, malam tadi.

Semalam, Muhyiddin menjelaskan, tidak berhasrat untuk membuat sumpah laknat berhubung dakwaan Zahid Hamidi meminta bantuannya dalam kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Muhyiddin berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Sebaliknya, Zahid sendiri yang perlu bercakap benar kepada rakyat mengenai perkara itu.

“Saya ada bukti dan malam itu saya sudah tunjukkan saksinya. Tetapi kalau dia nak sumpah, berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia,

“Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong,

“Apa yang saya sebut itu adalah hak walaupun kadangkala yang hak itu adalah pahit didengar,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, Zahid turut menjelaskan, bahawa beliau tidak pernah bertemu bekas Perdana Menteri itu untuk memintanya dibebaskan seperti yang didakwa.

Tambahnya, sejak awal beliau yakin tidak bersalah terhadap pendakwaan dikenakan oleh Pakatan Harapan (PH) sejurus mereka menguasai kerajaan.

“Saya menghadapi pendakwaan dengan cekal dan tabah kerana percaya kebatilan tidak sesekali mampu mengatasi kebenaran,

“Malah, saya yakin barisan guaman saya akan memenangi kes, namun dengan syarat tiada tangan-tangan ghaib cuba menidakkan keadilan buat saya,

“Keputusan PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah, sebaliknya beri kesan kepada mereka yang pernah menipu rakyat, mereka yang mengkhianati perjuangan BN kerana takut didakwa atau terpesona dengan tawaran,

“Insya-ALLAH walau apa tohmahan mereka lemparkan, Pengerusi BN tidak akan sesekali melutut di hadapan mereka. Meski berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat. Banyak ujian menimpa, namun perjuangan tetap saya teruskan,” ujarnya.

Zahid menegaskan, mereka yang sanggup membuat tuduhan fitnah demi kepentingan politik sepatutnya dianggap memalukan.

“Hari ini pihak yang menuduh enggan menyahut seruan bersumpah laknat sebagai membuktikan keyakinan apa yang dikata,

“Saya berharap hentikanlah politik hasutan dan kebencian seperti itu yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat,

“Apapun saya dengan hati yang ikhlas dan terbuka memaafkan insan-insan yang cuba menzalimi saya sekali lagi,

“Begitu juga kepada penyokong-penyokong dan labu-labunya yang terpedaya menjadi lidah serta jari penyebar fitnah dan pembohongan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!