Home Pertahanan dan Keselamatan 15 nelayan Vietnam kaut hasil laut negara RM3juta ditahan

15 nelayan Vietnam kaut hasil laut negara RM3juta ditahan

by Air Times News Network

PASIR PUTEH, 23 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan 2 bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh serta menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kelantan pada jarak lebih kurang 51.7 dan 52.8 batu nautika daripada Muara Tok Bali, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, turut ditahan 15 nelayan Vietnam termasuk 2 tekong yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot pertama yang dikendalikan 12 nelayan Veitnam termasuk seorang tekong ditahan APMM

“Semasa rondaan OP NAGA BARAT dan OP KUDA LAUT di perairan Kelantan sekitar jam 5.40 petang, bot ronda APMM telah mengesan 2 bot nelayan asing ini berada pada jarak 1.5 batu nautika daripada bot ronda dan terus mengatur gerak bagi memburu bot tersebut,

“Bot ronda APMM mengambil masa hampir 30 minit untuk menahan bot pertama yang dikendalikan 12 kru termasuk tekong,

“Bot kedua cuba melarikan diri apabila dirapati dan tekong serta kru menyorok di bilik enjin dengan membiarkan bot bergerak tanpa dikawal selama tempoh 25 minit, kemudiannya bot tersebut bersama 3 kru termasuk tekong berjaya ditahan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

APMM menahan 3 kru termasuk tekong yang menaiki bot kedua

Beliau berkata, kesemua 15 kru termasuk 2 tekong yang ditahan merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 65 tahun.

“Pemeriksaan juga mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,

“Kesemua kru termasuk tekong juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Menurut Syed Nor, tangkapan kali ini melibatkan 15 kru serta rampasan 2 bot, peralatan menangkap ikan, ikan lebih kurang 300 kilogram (kg), sotong kering lebih kurang 50 kg dan bekalan diesel lebih kurang 6,000 liter.

Nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta dan kesemua tangkapan dan rampasan diiring ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan.

“Tempoh mengiringi kedua-dua bot ini mengambil masa hampir 13 jam berikutan sistem enjin yang disengaja dirosakkan oleh kedua-dua tekong bot sebelum ditahan,” jelasnya.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan serta destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985,” ujarnya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!