TANAH MERAH, 21 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama 2 buah kenderaan mewah jenis Hyundai Starex dan Toyota Velfire awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, tangkapan dilakukan pada jam 10 pagi ketika sepasukan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah terserempak 2 kenderaan tersebut memandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Batu 4.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan seramai 24 PATI warga Myanmar berusia 15 hingga 41 tahun termasuk seorang kanak-kanak,
“Kesemua mereka tiada dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara ini menerusi laluan haram untuk bekerja,
“Semua 11 lelaki dan 12 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki itu diambil di kawasan Kampung Wakaf Simen, Nibong dan akan dihantar ke Kepong, Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Zainuddin, berdasarkan pengakuan kedua-dua pemandu warga tempatan yang berusia 40 dan 49 tahun itu mengaku telah menerima bayaran sebanyak RM1,500 untuk membawa kesemua PATI berkenaan daripada Kelantan ke Kepong.
Tambahnya lagi, 2 kenderaan mewah itu disewa dan pihak polis sudah membuat sitaan untuk siasatan lanjut serta merampas sebanyak 4 buah telefon bimbit.
“2 pemandu tersebut disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 manakala semua PATI itu pula di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,
“Bagaimanapun 2 daripada warga asing berkenaan positif COVID-19 dan diasingkan dalam lokap,” ujarnya. – airtimes.my