KUALA LUMPUR, 21 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu pusat rawatan kecantikan tanpa tauliah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan oleh warganegara asing di sekitar Lembag Klang dan Pulau Pinang.
Pusat rawatan kecantikan tersebut tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran profesional dalam bidang berkenaan dan pas yang sah dari JIM serta premis ini juga didapati tidak berdaftar dengan KKM.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan ini dibuat bersama KKM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sekitar Dengkil, Kepong, Kuchai, Puchong dan Pulau Pinang.
“Dalam serbuan kali ini, jumlah tangkapan seramai 21 orang di 8 premis di sekitar Dengkil (seorang perempuan Indonesia); Kepong (11 perempuan, 1 lelaki Vietnam); Kuchai (1 perempuan Vietnam); Puchong (4 perempuan Indonesia) dan Pulau Pinang (3 perempuan Vietnam) telah diperiksa,
“Operasi ini adalah hasil dari kejayaan risikan dan pemerhatian yang dijalankan secara bersama oleh JIM dan pegawai-pegawai KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semasa pemerhatian selama 4 bulan ini, pusat rawatan kecantikan berkenaan didapati memberikan perkhidmatan rawatan yang kompleks dan memerlukan penggunaan ‘medical devices’ tertentu seperti prosedur Rhinoplasty contohnya rawatan mencantikan hidung.
“Selain itu, rawatan membesarkan anggota badan tertentu atau dikenali sebagai rawatan ‘filler’; perkhidmatan dan rawatan pemutihan gigi; perkhidmatan suntikan vitamin C dan botox serta perkhidmatan menguruskan badan seperti prosedur Slimming Drip,” ujarnya.
Menurutnya, perkhidmatan rawatan kecantikan tersebut telah dijalankan oleh warga asing yang tidak mempunyai kemahiran formal yang tidak diiktiraf oleh KKM dan boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan.
“Berdasarkan pemerhatian pelanggan-pelanggan adalah terdiri daripada warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai-pegawai eksekutif,
“Perkhidmatan pusat rawatan kecantikan ini mendapat sambutan yang tinggi kerana mereka menawarkan bayaran yang rendah berbanding rawatan pusat rawatan berlesen yang dikendalikan oleh profesional yang bertauliah,
“Kadar caj yang dikenakan adalah diantara RM350 hingga RM8,000 seperti ‘eye filler’ RM350, ‘breast filler’ RM1,900 dan ‘botox filler’ (punggung) RM3,500. Manakala pembedahan plastik mengenakan caj sebanyak RM8,000,” jelasnya.
Sementara itu, modus operandi sindiket ini adalah mempromosi perkhidmatan mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Walau bagaimanapun hasil semakan mendapati pelanggan perlu ‘request’ untuk memasuki media sosial khususnya Instagram,” tegasnya.
Jelas Khairul Dzaimee, kesemua subjek disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kes akan di siasat secara lanjut oleh pihak KKM atas mana-mana pelanggaran yang berkaitan. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Pada masa sama, JIM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk menumpaskan sindiket atau individu yang menjalankan kegiatan ini untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang bahaya rawatan kecantikan yang tidak bertauliah.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” ujarnya lagi. – airtimes.my