Home Semasa PRN Johor: Ceramah, kempen fizikal, lawatan rumah ke rumah dibenarkan

PRN Johor: Ceramah, kempen fizikal, lawatan rumah ke rumah dibenarkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Penganjuran ceramah secara fizikal dan kempen ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemaskini di laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat, ceramah hanya dibenarkan diadakan di pejabat dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang, termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta.

“Penganjur juga perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah diadakan,

“Tempoh setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama 2 jam dan tidak melebihi jam 10.00 malam. Manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan,” jelas SPR.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah pula, SPR menjelaskan, ia dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 5 orang. Namun mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan penghuni rumah. Aktiviti mengedarkan risalah juga perlu dibuat di luar pagar.

“Bagaimanapun, individu yang sedang menjalani kuarantin sama ada kes positif COVID-19 atau kontak rapat serta bergejala adalah tidak dibenarkan untuk turut serta kempen ziarah,” jelasnya.

SPR turut memaklumkan, pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat pengundi.

Tambahnya, kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pengundi yang berstatus PUI dan PUS hendaklah diasing dan ditempatkan di khemah atau ruang khas yang disediakan,

“PUI dan PUS juga perlu menggunakan pengangkutan sendiri untuk pergi ke pusat mengundi. Penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan,” katanya.

Maklumat lanjut SOP bagi PRN Johor boleh diakses menerusi laman rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal 8 Mac 2022. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!