KUANTAN, 18 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) terus komited mengutamakan aspek pemerkasaan pengoperasian dan bantuan operasi yang dipertanggungjawabkan sama ada di dalam dan luar negara.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad TUDM berkata, 3 fokus utama MK AB turut menitikberatkan peningkatan pemerkasaan eksesais dan latihan operasi bagi meneruskan 4 teras utama yang digariskan di dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM pada 24 Januari lalu.
“Selain itu, MK AB juga akan terus mempertingkatkan dan melaksanakan semua tugas dengan efektif, efisyen serta selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Amanat tahun 2022 di Auditorium Mat Kilau MK AB serta secara video conference bersama Komander IMT MINDANAO 16, Komander ATB 2, Komander MALBATT 850-9 pada Khamis.
Menurutnya, kejayaan operasi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) di Sabah telah membuktikan tahap afisiensi pasukan dalam menjaga perairan dan kedaulatan negara dari aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Kejayaan operasi di Sabah terbukti tahap efektif dalam aspek menjaga kawasan perairan dan menjamin kedaulatan negara dari pencerobohan terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI) selain penyeludupan barang-barang serta beberapa jenayah rentas sempadan yang lain,
“Selain itu, hasil kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lain-lain lagi telah mercerminkan keikhlasan dan kesungguhan para perwira kita dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab ATM sebagai benteng utama pertahanan negara,” tambahnya.
Selain itu, Yazid turut menzahirkan penghargaan kepada kontijen Batalion Malaysia (MALBATT) 850-8 yang telah mempamerkan prestasi yang sangat cemerlang dalam melaksanakan tugas sebagai pasukan pengaman di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Perkara ini turut mendapat pujian dan pengikhtirafan rasmi daripada Sector West Commander, UNIFIL,
“Saya berharap prestasi cemerlang ini terus dikekalkan oleh MALBATT 850-9 supaya Malaysia terus
dipandang tinggi dipersada dunia,” tegasnya. -airtimes.my