Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-9, UNIFIL fokus hak kesamarataan terhadap jantina

MALBATT 850-9, UNIFIL fokus hak kesamarataan terhadap jantina

by Nurulhuda

MARAKAH, 18 Feb – Penglibatan pegawai dan anggota wanita dalam Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) bukanlah asing lagi dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.

Pegawai dan anggota wanita turut diaturgerakkan dalam melaksanakan tugasan anggota lelaki MALBATT dan tentera Lubnan seperti rondaan serta tugasan di check point dalam membuktikan tahap profesionalisme melaksanakan tugas operasi di barisan hadapan.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam hantaran di media sosialnya berkata, secara amnya Pasukan Interim PBB (UNIFIL) dan MALBATT 850-9 sentiasa menitikberatkan hak di antara wanita dan lelaki.

Namun atas faktor budaya dan agama, terdapat limitasi dan batas pergaulan yang perlu diambil kira. Dalam konteks perbezaan jantina ini, UNIFIL lebih memberi fokus kepada wanita yang berkemungkinan diabaikan oleh sesetengah pihak.

Fokus ini dikongsikan bersama Military Gender Advisor dari HQ UNIFIL, Major Maartje Van Reedt Dortland yang telah mengadakan lawatan rasminya ke Kem Marakah pada Rabu.

Maj Maartje Van Reedt Dortland, Military Gender Advisor dari HQ UNIFIL telah mengadakan lawatan rasminya ke Kem Marakah pada Rabu lalu.

“Ketibaan Maartje Van telah disambut oleh Pegawai Staf 1 Tadbir selaku Head of Gender Advisor MALBATT 850-9, Leftenan Kolonel Kamisah Salimin, di perkarangan D’Anjung Seven,

“Lawatan ini bertujuan untuk melihat secara lebih dekat berkenaan penekanan dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh MALBATT 850-9 dalam menentukan hak kesamarataan terhadap jantina,

“Lawatan ini turut disertai oleh Gender Advisor dari Sector West, Leftenan Sara Turato. Maartje Van Reedt Dortland turut membuat kunjungan hormat kepada Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin dan seterusnya diperkenalkan kepada MALBATT Gender Focal Point (GFP),” jelas MK AB.

MALBATT 850-9 buat julung kalinya menampilkan penglibatan wanita paling ramai iaitu 11 pegawai dan 75 anggota.

Kekuatan keseluruhan MALBATT 850-9 ialah seramai 854 orang iaitu 83 pegawai dan 771 anggota diketuai Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander MALBATT 850-9.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!