Home Semasa Kad warga asing Sabah mustahak dalam urusan aspek keselamatan – MCCF

Kad warga asing Sabah mustahak dalam urusan aspek keselamatan – MCCF

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak menegaskan langkah kerajaan untuk memberi kad identiti warga asing di Sabah adalah satu langkah yang betul.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong langkah kerajaan untuk berbuat demikian sebagai satu usaha untuk tangani pelbagai isu keselamatan di Negeri Di Bawah Bayu terutamanya negara masih dibelenggu pandemik COVID-19.

“MCCF yang telah menjalankan program penyelidikan berhubung isu warga asing dan menyarankan kepada kerajaan agar satu mekanisme pemberian identiti sementara kepada semua warga asing di negara ini,

“Langkah ini wajar diperhalusi demi keselamatan rakyat dan negara ini,” katanya.

Halim turut menegaskan pemberian kad warga asing bukan satu pengiktirafan status warganegara atau penduduk tetap kepada warga asing.

“Ianya mestilah lebih menjurus kepada membantu kerajaan dalam mengenal pasti identiti setiap pendatang asing yang tinggal di Sabah khususnya dan Malaysia amnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Halim turut menyatakan pemberian kad warga asing perlu menggunakan teknologi masa kini.

“Ia mestilah melalui proses pelaksanaan dan mekanisma yang melibatkan penggunaan teknologi terkini IR 4.0 dan ‘artificial intellegent’ (AI),

“Ini bagi memastikan jaminan keselamatan sistem daripada di cerobohi dan dimanipulasikan oleh pengodam siber,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kerajaan akan memperkenalkan pemberian kad identiti kepada warga asing di Sabah.

Menurut beliau, cadangan pemberian kad ini telah diusulkan oleh Kerajaan Negeri Sabah semasa mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) yang diadakan pada 10 Februari lalu.

Pada masa yang sama, Hamzah menegaskan pemberian kad ini bertujuan untuk mengetahui keberadaan golongan warga asing di negeri berkenaan.

“Masalah di Sabah begitu sulit sekali, dia (warga asing) sudah tinggal lama dan kalau nak hantar balik, dia 30 tahun duduk sini dan mungkin sudah ada tiga atau empat generasi di sini,

“Mereka juga tidak mengetahui kampung mereka di mana dan tidak mempunyai kad langsung, tiada dokumen.

“Sebab itu kita nak selaraskan kad warga asing kepada mereka, supaya kita dapat sahkan mereka itu warga asing,” kata Menteri Dalam Negeri dalam satu sidang media pada minggu lalu.

Tegasnya, kad ini bukanlah pemberian kerakyatan serta status penduduk tetap kepada golongan terbabit. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!